Siapa Kata Tak Boleh Bercinta?

Siapa Kata Tak Boleh Bercinta?

Cinta adalah fitrah yang lahir dari lubuk hati setiap manusia. Setiap manusia memiliki fitrah untuk mencintai dan dicintai, tapi cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan agar ia tidak akan menjadi fitnah.

Sering kita dengar bahawa cinta antara lelaki dan perempuan ajnabi itu akan halal selepas selesainya akad nikah. Ramai yang mengakuinya, namun ramai juga yang tidak mengendahkannya.

Perasaan cinta itu tidak salah kerana ia adalah anugerah Allah. Kita hendaklah memeliharanya daripada menjadi fitnah duniawi. Tanpa kita sedari kehadirannya akan membawa wabak yang agak susah untuk dipadam kalau tidak berjaga-jaga dari awal.

Cinta itu perlulah disalurkan di tempat yang sepatutnya agar kita tidak dilabelkan zalim yakni meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Cinta itu begitu indah apabila dihayati dengan aturan Islam.

Diri ini sering tertanya-tanya, adakah dengan ber’couple’ itu lengkaplah kebahagiaan kehidupan ini? Persoalan ini timbul apabila melihat ramai kawan-kawan terdekat ber’couple’.

Benarkah cinta itu wujud apabila kita mempunyai pasangan kekasih yang selalu bertanya khabar, ber-sms, ber’chat’ing di Facebook, atau berjumpa (‘dating’) berdua-duaan untuk melepaskan rindu dan bergayut di telefon? Ke manakah hala tuju perhubungan itu? Adakah ia direstui keluarga atau, persoalan yang lebih besar, adakah perhubungan itu diredhai Allah? Adakah ini semua dinamakan cinta?

Persoalan ini sering berlegar di mindaku tanpa ada noktah jawapannya. Astgahfirullahalazim, bermuhasabahlah teman-teman, moga diri kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang lalai dengan cinta duniawi ini.

Berdasarkan pemerhatian, aku sering melihat dan mendengar pelbagai karenah rakan-rakan yang ber’couple’ ini. Sebagai contoh, mereka menghabiskan banyak masa bersama si dia dan mendengar janji-janji manisnya yang disampaikan dengan suara yang sengaja dilunakkan serta dilembutkan. Bukankah suara itu juga sebahagian daripada aurat kita?

Allah SWT berfirman,

“…Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”
(Surah al-Ahzaab, ayat 32)

Mengapa perlu diucap perkataan sayang, cinta dan rindu kepada yang bukan halal bagi kita? Simpanlah kata-kata manismu untuk si dia yang halal bagimu dan bukan kepada yang membawa kamu ke jalan kemaksiatan.

Apabila ditanyakan persoalan tentang perkahwinan, selalunya mereka yang ber’couple’ terdiam sepi kerana tiada jawapan. Bukankah lebih elok jika dipercepatkan perkahwinan? Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Benarkah apabila selalu keluar bersama, kita dapat mengenali pasangan dengan lebih baik atau sekadar untuk mendapatkan perhatian dan keseronokan dunia? Ataupun untuk dijadikan tempat mengadu segala masalah? Bukankah Allah itu tempat terbaik untuk berbicara dari hati ke hati? Ayat-ayat cintaNya itulah penawar duka lara kita ketika susah senang dan dapat mententeramkan hati kita.

Allah SWT berfirman,

“…Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang.”
(Surah ar-Raad, ayat 28)

Kadang-kadang terdengar ramai lelaki mengatakan perempuan yang tidak melayan ajakan maksiat mereka itu sombong. Kenapa boleh berkata begitu? Apabila si perempuan tidak membalas teguran dan ajakan untuk ‘berkenalan’, itu bukannya sombong, tapi itu adalah untuk menjaga diri.

Sedarlah lelaki di luar sana, jika anda mahu ibu kepada anak-anak anda baik, maka jadikanlah diri anda baik dahulu. Jika anda ingin dihormati, hormatilah pasangan yang bakal anda nikahi terlebih dahulu.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang sering kita dengari yang bermaksud,

Hatiku lagi pedih apabila terpandang atau memandang rakan-rakan yang betudung labuh litup, malah ada juga yang sebilangannya berpudah tapi malangnya mengambil istilah ‘couple islamik’.

Benarkah ‘couple islamik’ itu wujud? Bukankah ‘couple’ itu haram kerana mereka yang ber’couple’ menjalinkan kasih sayang dengan bukan mahramnya tanpa ikatan yang halal? Bukankah mereka lebih berpengetahuan agama dan lebih mengerti akan perkara ini?

Sedarlah wahai teman, itu hanyalah sandiwara syaitan yang ingin mempermainkan dirimu. Perbuatanmu itu boleh merosakkan nama baik muslimah yang lain; yang benar-benar menutup auratnya untuk menuju redha Ilahi. Bak kata pepatah Melayu, “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Kenapa perlu ada ‘couple’? Kenapa ia menjadi satu trend? Adakah disebabkan pengaruh rakan sebaya? Banyak kata-kata cinta dikongsi bersama di Facebook, tetapi sejauh manakah ia memberi kesan kepada hati kita? Dengan bicara kata-kata indah dan puisi yang begitu cantik susunan bahasanya, bolehkan ia memberi kesan dan menjadi pengajaran serta peringatan untuk diri sendiri?

Ingatlah, hanya dengan mengingatiNya hati kita akan menjadi tenang. Kita sering mendambakan kata-kata yang indah, lupakah kita ayat-ayat dariNya begitu indah bila kita mentadaburkan maknanya dan mengamalkan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang?

Penting sangatkah ber’couple’? Kenapa ia boleh berlaku? Adakah kerana hati kita kosong? Sedarkah teman-teman termasuk diri ini, mengapa kadang-kadang hati kita merasa kosong? Bila hati rasa tidak tenang, bermuhasabahlah, fikir balik adakah kita sudah selesaikan tanggungjawab kepada Tuhan? Bila rasa susah hati, tanya pada diri adakah kita ada berhutang dengan sesiapa di luar sana? Bila hati terasa sedih, fikir balik pengorbanan apa yang kita tidak pernah buat dan apa pengorbanan orang lain terhadap kita.

Cara untuk mendapat ketenangan hati bukannya dengan mengadu kepada ‘couple’ kita, tapi dengan mengadu kepada Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Berkuasa, kekasih hati yang hakiki.

Kita hendaklah sentiasa berdoa untuk orang lain (bukan hanya berdoa untuk diri sendiri sahaja). Melalui doalah hubungan kita dengan Allah akan menjadi lebih baik. Doa juga menjadi peringatan untuk diri sendiri supaya menjauhi kemungkaran di dunia ini untuk mendapat syurgaNya di sana. Cinta suci yang seharusnya kita garapkan dahulu ialah cinta kepada Allah, Rasulullah dan kedua ibu bapa.

Oleh itu jagalah maruah diri, dan yang utama, jagalah hati. Berhati-hatilah dengan hatimu kerana dirimu begitu berharga pada pandangan Allah, bukan pada pandangan si dia. Cinta Allah terlalu Agung berbanding cinta si dia yang boleh hilang dan meninggalkan dirimu pada bila-bila masa sahaja. Cinta Allah kekal selamanya sampai ke syurga.

Yakinlah dengan janjiNya untuk pertemuan dengan si halal bagi menyempurnakan kasih sayang di muka bumi ini. Masa dan waktu menentukan segalanya berserta doa yang sering dipanjatkan kepadaNya. Jagalah cinta kalian untuk yang halal sahaja. Insya-Allah, masa itu akan tiba. Bersabarlah teman dan jangan penat memperbaiki diri serta mencari ilmu rumah tangga yang bakal ditempuhi.

Setiap permasalahan ‘couple’ itu ada penyelesaiannya iaitu bernikah. Jadilah contoh yang terbaik dalam mengikuti sunnah Rasulullah dengan membina ikatan pernikahan. Percintaan selepas perkahwinan itu adalah salah satu jalannya. Maka, jagalah diri, jagalah hati dan jagalah iman kita. InsyaAllah, dipermudahkan segala urusan.

SUMBER : ILuvIslam.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in TAZKIRAH and tagged , , , , . Bookmark the permalink.