Sebagai ibu bapa kita mempunyai peranan yang penting dalam mendidik anak-anak. Penting bagi kita untuk membentuk perangai dan tabiat yang baik dalam diri anak-anak  sejak kecil lagi. Jadi penting bagi ibu bapa untuk membentuk satu persekitaran yang baik untuk anak-anak.

Firman Allah SWT: “Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar.”  (QS. At-Taghabun, 64: 15)

1. FAHAM PERASAAN ANAK ANDA

Allah SWT mencipta manusia dengan personaliti dan karakter yang unik. Setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan yang berbeza dan akan membesar mengikut cara didikan yang diterima. Sebagai ibu bapa, terutamanya ibu didikan yang berkesan datangnya dari jagaan dan pendidikan yang akan diberi kepada anak anda. Penting bagi anda untuk mengenal anak anda dan mengetahui perkembangan seharian anak anda. Berikan sepenuh perhatian anda kepada anak anda, melalui perhatian anda akan lebih memahami perasaan dan dekat dengan anak anda.

2. TUNJUK KASIH SAYANG

Lumrah ibu bapa kita memang menyayangi anak  kita tetapi dengan berkerja keras dan berkorban untuk anak kita sahaja tidak cukup untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada mereka. Dengan erti kata lain ciuman, pelukan dan sentuhan akan lebih menunjukkan kasih sayang kita kepada anak kita. Dengan perlakuan ini, anak kita akan lebih rasa selamat dan berasa disayangi serta diberi sepenuh perhatian. Ingatlah senyuman sahaja akan mengembirakan anak kita, jika kita terlampau penat, memadai dengan senyum dan membelai anak kita, jangan terlampau emosi dengan masalah lain sehinggakan anak-anak terabai.

Rasulullah SAW kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a: ‘Pada suatu hari Rasulullah s.a.w mencium Al-Hassan atau Al-Hussein bin Ali r.a. Ketika itu Aqra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda.

 Berkata Aqra: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka.”

 Rasulullah melihat kepada Aqra kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.” (Al-Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. LAKUKAN AKTIVITI BERSAMA

Kanak-kanak sangat gemar bermain dan mereka begitu menghargai anda jika anda sanggup ‘turun padang’ untuk menyertai mereka. Dengan melakukan aktiviti bersama, anda boleh menyelitkan beberapa pengajaran kepada anak anda, dan ini akan membentuk lebih kefahaman kepada mereka dan anda juga boleh membentuk dan mencari apa kekuatan dan kelemahan anak anda dengan lebih dekat.

4. HARGAI ANAK ANDA

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah meghargai anak kita. Anak adalah satu amanah, dan kita perlu menjaga amanah itu sebaiknya.

Dari Usamah bin Zaid RA, berkata: Rasulullah saw pernah mengangkatku dan mendudukkan aku di atas pahanya, dan Hasan bin Ali duduk di paha yang lain, kemudian Rasulullah saw memeluk kami berdua, dan bersabda: Ya Allah sayangilah keduanya, karena sesungguhnya aku menyayanginya. (HR. Al Bukhari)

5. JADI IBU BAPA CONTOH

Sejak kecil lagi, kanak-kanak memang banyak mengikut dan menilai perlakuan kita, jadi penting untuk kita menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak kita. Cara layanan rasulullah SAW terhadap anak juga menunjukkan baginda bersikap dengan penuh kasih sayang sebagai mana yang dijelaskan di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai yang bermaksud:

“ Setiap kali Fatimah datang menemui Rasulullah, baginda biasanya berdiri menyambut kedatangannya, menciumnya dan menyuruhnya duduk di tempat baginda.”

6. KOMUNIKASI YANG BAIK

Salah satu cara paling berkesan dalam mendidik anak ialah berkomunikasi dengan baik. Anda mesti bijak dalam menegur kesalahan mereka bukan dengan menengking atau mengherdik mereka. Sabar dengan kerenah mereka, dan bercakap dengan baik dan juga bertenang jika anda terlampau marah dengan mereka. Ingat yang raasulullah SAW sentiasa senyum, cuba senyum dengan anak anda selalu.

“Apabila Rasulullah melalui sekumpulan budak lelaki, rasulullah akan senyum dengan mesra ke arah mereka dan menyambut mereka” (Bukhari  dan Muslim)

Semoga bermanfaat. Dialu-alukan untuk share dengan sahabat-sahabat lain :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , ,