Maksud Perkahwinan

“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”

(Surah An-Nur 24:32)

Perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengansebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.

Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai perkahwinan adalah seperti berikut:

“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu:  Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Dijelaskan dalan hadis di atas bahawa  Rasulullah SAW memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan  supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi SAW.  Antara faedah yang ketara di sini ialah  seseorang itu dapat  menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya.  Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.

Realiti Perkahwinan

Antara umur yang dikategorikan dalam berkahwin awal adalah dalam lingkungan 18 – 24 tahun. Kahwin muda atau kahwin awal kini semakin terkenal dikalangan para pelajar. Saya dan suami sendiri berkahwin pada usia 23tahun dan suami masih dalam tahun ketiga pengajian. Kenapa kami berkahwin awal? Ramai yang menganggap kami masih belum bersedia untuk melayari kehidupan berumah tangga, tetapi Alhamdulillah kami Berjaya meyakinkan kedua ibu bapa kami. Ramai dari remaja yang takut untuk berkahwin awal kerana takut ‘kaki mereka akan diikat’ dan takut kehidupan mereka tidak lagi bebas selepas berkahwin.. Tetapi ada juga yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi masih ragu-ragu dan takut untuk melangkah ke dunia perkahwinan.

“Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri”

(riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika isu belum matang menjadi halangan, anda mungkin silap. Sebenarnya kematangan akan terbentuk dengan sendiri selepas anda berkahwin. Perkahwinan juga mengajar kita suami isteri bersikap matang serta bertanggungjawab. Contohnya jika anda masih lagi bergelar pelajar, apabila anda berkahwin anda mungkin akan lagi ‘serius’ terhadap pelajaran kerana anda memikirkan diri anda yang memegang tanggungjawab sebagai isteri/suami. Sikap bertanggungjawab itu juga mungkin timbul kerana anda kini menjadi tumpuan seluruh ahli keluarga anda kerana anda berkahwin ketika belajar. Selain itu, berkahwin juga sebenarnya banyak mengajar kita cara memperbaiki diri. Anda dan pasangan boleh diibaratkan seperti cermin!

 

Kebaikan Berkahwin Awal

Umum mengetahui  berkahwin boleh mengelakkan maksiat seperti zina daripada berleluasa. Tetapi kahwin awal juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan kita tidak akan lagi berasa sunyi. Jika salah seorang daripada anda mempunya masalah, anda ada orang untuk meluahkan cerita, setia memberi anda nasihat dan yang paling penting menjadi pendengar anda yang setia. Ramai dari anak muda sekarang yang beranggapan selepas berkahwin hilanglah kemanisan ‘dating’ dan sebagainya. Tetapi anda silap kerana kemanisan ‘dating’ akan lebih jika anda adalah pasangan yang halal.Bayangkan anda boleh melakukan pelbagai aktiviti dengan pasangan anda tanpa berasa takut dan bersalah.

Kahwin di usia muda juga menjadikan ibadah kita lebih berkualiti, penuh khusyuk. Mungkin tiada lagi masalah nafsu dan ketidaktenangan terhadap pasangan yang belum pasti. Manisnya kehidupan anda yang sentiasa solat berjemaah bersama, bertadarus bersama dan bangun malam untuk qiamulai bersama.

Masalah

Kebanyakan masalah yang dihadapi untuk orang yang ingin berkahwin adalah kewangan.  Tetapi percaya atau tidak berkahwin menarik banyak rezeki.

“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka, iaitu :

1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 – Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Saya pernah terbaca satu kisah yang pasangan muda yang berkahwin, mereka sama-sama bergelar pelajar, tetapi si suami tidak lupa nafkahnya, dia memberi RM50 kepada isteri setiap bulan. Walaupun nilai itu mungkin tidak banyak tetapi yang penting keikhlasan si suami dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya. Jangan pula si isteri menarik muka, kerana berkahwin awal ini mungkin banyak kesabaran dan komitmen yang diperlukan. Bagi yang masih belajar, anda mungkin boleh membuat kertas kerja tentang kewangan masuk dan keluar anda dan mungkin anda terpaksa menghadkan perbelanjaan anda sedikit.

Apabila kewangan sudah tidak stabil,mungkin ibu bapa anda melarang untuk memikirkan pasal kahwin. Jangan cepat melatah, dan jangan cepat beremosi. Anda perlu bijak berbincang dengan keluarga dengan restu mereka, akan bertambahlah berkat dan rezeki kita. Sayangilah dan hargailah ibu bapa kita. Mereka tidak boleh diganti.

Dan sentiasalah memohon doa perlindungan daripada perkara yang tidak bermanfaat bagi agama dan diri kita. Pohonlah, luahkanlah kepada Allah segala yang terbuku dalam hati. Allah sentiasa mendengar luahan dan rintihan hambaNya.

Begitulah serba sedikit pendapat yang dapat saya berikan. Alhamdulillah, saya dan suami dapat mengharungi kehidupan suami isteri walaupun di usia muda. Ikhlas dari saya, bercinta selepas berkahwin sangat manis dan berkahwin muda sangat banyak manfaatnya selain mengajar kami suami isteri erti tanggungjawab. Perkahwinan juga banyak mengajar kami cara memperbaiki diri kerana kami akan saling tegur menegur dan banyak aktiviti yang kami lakukan bersama.

Jom dengar sedikit komen Ustaz Azhar Idrus tentang Kahwin Awal :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , , , , , , ,