Cinta Itu Bagaimana?

Cinta adalah perasaan jiwa & tarikan hati. Ia adalah fitrah. Islam mengiktiraf fitrah ini & menggariskan 3 peringkat Cinta, iaitu:

Cinta AGUNG, Cinta PERTENGAHAN & Cinta HINA

“Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik” – (At-Taubah:24)

CINTA paling AGUNG sudah tentu Cinta kepada-Nya, Allah Ta’ala, Rasul & jihad di jalan-Nya. Tiada Cinta yang boleh menyamai kedudukan Cinta ini.

Seterusnya, CINTA PERTENGAHAN ialah Cinta yang terhasil daripada ikatan seseorang yang dikasihinya samada dengan ikatan akidah, ikatan keturunan, kekeluargaan, kaum kerabat, perkahwinan atau persaudaraan.

Manakala CINTA HINA pula ialah Cintakan taghut, syaitan musuh-musuh-Nya, hawa nafsu, syahwat & mengutamakan kasih terhadap ibubapa, anak-anak, isteri, keluarga, perniagaan & kasihkan negara melebihi kasih & cintakan Allah Ta’ala, Rasul & jihad di jalan-Nya.

Sebenarnya dalam Islam tidak ada langsung istilah Cinta bagi mereka yang masih belum ada ikatan perkahwinan. Lihatlah 3 peringkat Cinta yang digariskan, adakah Islam mengiktirafkan Cinta kepada teman lelaki. Hatta, Cinta kepada tunang pun tidak diiktiraf inikan pula kepada teman lelaki. Bagaimana kita boleh menganalisis ciri-ciri pasangan yang bercinta kerana-Nya jika istilahnya pun tidak diiktiraf? Ingat, hal ini berbeza dengan dua orang insan yang saling jatuh Cinta kerana-Nya & menahan diri daripada asyik bercinta sehinggalah syariat menghalalkannya. Cinta yang hakiki adalah mencintai-Nya, kemudian Rasul-Nya, kemudian barulah selain mereka.

Ini adalah karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan (Al-Islam wa Al-Hubb):

“Kadang-kadang manusia tersalah menganggap Cintanya kerana-Nya padahal percintaannya menyebabkan makhluk-Nya lebih diagungkan daripada pencipta makhluk-Nya itu sendiri. Allah Ta’ala diketepikan. Mungkin matlamat dah betul dan jelas, tapi jalannya tidak menepati syariat. Itulah yang menyedihkan. Dalam Islam ada beberapa perkara yang perlu disegerakan.

  • Apabila solat telah masuk waktunya.
  • Apabila jenazah untuk dikebumikan.
  • Apabila anak gadis telah bertemu calon suaminya. Kalau dilambatkan buruk padahnya.

Kita boleh buat satu kesimpulan iaitu Cinta kerana-Nya hanya akan hadir selepas kahwin. Sebelum kahwin, andai terbit rasa Cinta antara dua orang, mereka perlu segera dijodohkan. Bukan senang nak bermujahadah apabila hati sudah terpaut pada seseorang. Lagipun, cepat berkahwin akan mengurangkan maksiat hati yang dilakukan sepanjang percintaan. Maka, syariat tetap terpelihara. Barulah Cinta-Nya tidaks hilang dari hatinya”

Jatuh Cinta itu tidak salah, asyik bercinta itu yang salah. Perasaan jatuh Cinta anugerah-Nya. Tapi kalau rasa ia boleh melalaikan tentu ada perbuatan-perbuatan yang salah, yang Allah Ta’ala tidak redhai. Muhasabah balik. Sentiasalah berdoa kepada-Nya agar memelihara perasaan Cinta itu sebagaimana yang Dia kehendaki, yang tidak menjauhkan seseorang dari-Nya. Allah Ta’ala Maha Penyayang.

Praktikalnya?

Tidak salah kalau seseorang itu tetap sayangkan orang yang dia minati. Diyakini, orang itu pun sudah tentu amat mengharapkannya. Cuma kikislah keaiban-keaiban Cinta seperti hari-hari bergayut di telefon & lain-lain. Perbuatan-perbuatan ini yang salah bukan perasaan jatuh Cinta itu. Mujahadalah secara perlahan-lahan & penuh kerelaan kerana takut dan cintakan-Nya. Orang beriman utamakan kebenaran-Nya dalam hidupnya.

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-kutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)” – (Al-Baqarah 2:165)

Justeru, seseorang itu perlukan masa untuk mengubah situasi sedia ada. Jangan mengubahnya secara mendadak bimbang nanti tidak istiqomah mengubahnya. Waktu sekarang ini, fikirkan peranan & tanggungjawab sebagai seorang hamba-Nya yang nak memenangi redha Ilahi, pelajar yang nak cemerlang dalam pelajarannya & anak yang mahukan restu ibubapanya. Tanggungjawab ini semua perlukan komitmen yang bukan sedikit. Jangan biarkan ia terabai kerana seungkap nama lelaki yang bukan bergelar suami.

“Lelaki penzina tidak layak berkahwin kecuali dengan perempuan yang penzina, atau perempuan yang musyrik dan perempuan yang penzina tidak layak dikahwini, kecuali oleh lelaki yang penzina atau lelaki yang musyrik dan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman” – (An-Nuur:3)

Sumber: www.al-fikrah.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in KELUARGA, PERKAHWINAN and tagged , , , , . Bookmark the permalink.