[CERPEN] Sedikit Badai

“Besarnya perut awak kali ni ye yang…”

“A’ah bang, bayangkan, hari tu baru 8 bulan dah 2.2 kg anggarannya… Esok check up, entah berapalah berat anggarannya nanti……anak yang dulu-dulu tak macam ni….sakit pinggang ni ha…..”

Amar senyum memandang ke arah ku. Aku mengerti senyumannya. Dia gembira. Keluarga kami semakin membesar. Dia sudah punya tiga orang anak perempuan dari perkahwinannya sebelum ini. Isterinya meninggal dunia lebih kurang 12 tahun lalu. Bersama aku, kami telah dikurniakan dua anak perempuan.

Aku dan dia hidup tenang bersama semua anaknya di dalam satu rumahtangga yang normal. Aku meninggalkannya dan keluar untuk menyambung kerja-kerja mengemas. Amar pula terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Sedang aku khusyuk mengelap meja makan kesayangan Amar, aku tersentak dengan deringan telefonnya yang ada di atas meja itu. Ada SMS. Ku capai untuk memberikan kepada Amar dan sempat ku lihat nama yang tertera, SM012. Aku tahu siapa itu, Siti Maslinda. Amar masih di dalam bilik mandi. Hampir aku menekan butang Read. Tapi aku yakinkan diri, aku wajib amanah dengan suamiku. Biarlah Allah yang mengawal segalanya.

Aku beristighfar untuk menenangkan diri dan menyambung kerjaku. Tak sampai berapa minit, telefon itu berbunyi lagi, tapi kali ini panggilan, dari orang yang sama. Bergegas pula Amar keluar dari bilik untuk mendapatkan telefonnya. Deringannya mati. ‘Nak apa agaknya anak dara tu dengan laki aku.’ Getus hatiku…… Ku biarkan gelagat suamiku yang sedang cuba menghubungi SM semula. Aku cuba mengawal gejolak hati yang mula bergelora. Ku ingatkan semula diriku sendiri, ‘jika satu hari nanti hubungan mereka hingga ke peringkat pernikahan, aku mesti terima dengan redha. Siapalah aku untuk menghalang. Ya Allah, semoga aku mampu menerima takdirMu.’

Aku berjaya mengawal emosi, Alhamdulillah. Amar yang sudah bersiap untuk keluar, cuba bergurau senda denganku. Mungkin dia rasa bersalah dan risau aku akan terasa hati. DugaanMu ya Allah, sedangkan, baru semalam kami meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ke 8. Bila Amar selesai menyarung kasut dan kami bersalaman, telefonnya berdering lagi, dan dia terus masuk ke dalam keretanya lalu menjawab panggilan itu. Entah kenapa, aku yakin itu panggilan dari SM. Hati tercuit lagi. Ingin tahu, apakah yang dimahukan dari suami ku ? Ahh…Lantaklah…… Hilang kelibat Amar, aku terus menghadap PC di bilik kami.

Aku terus melayari Facebook. Aku curi-curi baca di wall SM. Oh, dia hendak menaiki flight dari Kuching Sarawak ke Johor Bahru. Baru balik dari satu acara sukan. ‘Telefon tu, nak mintak abang jemput dia ke ?’ Fikirku. Ah! Kenapalah aku termakan lagi pujukan syaitan, tak sepatutnya aku buat macam ni. Biarlah apa yang suami nak buat, bukannya aku mampu melarang. Tak mahu aku menjadikan perkara yang belum pasti sebagai punca pergaduhan. Aku tak pernah bertekak dengan Amar kerana orang lain. Jadi aku mahu kekalkan rekod itu.

Cuma, terdetik di hatiku, kenapa aku selalu kata, aku redha jika suami ingin berkahwin lagi, sedangkan baru sedikit dugaan seperti ini, aku sudah seperti cacing kepanasan. Aku mungkin akan lega jika suami bersikap jujur padaku, mengatakan dia ada teman wanita yang mungkin menjadi madu ku. Sesekali aku kesal kerena pernah senyap-senyap membaca perbualan mereka di facebook suamiku. Mereka saling melafazkan rindu. Hampir gugur jantung ini ku rasakan. Namun aku bersyukur aku masih mampu berlagak selamba dihadapan suamiku.

Teringat pada suatu hari, aku sengaja menduga suamiku,

“Girlfriend abang yang dekat facebook tu olahraga ye ? “

Kulihat Amar kaget, tapi cuba mengawal dirinya.

“A’ah. Mana awak tahu ?”

“Dia satu kumpulan dengan classmate Aisyah dekat sekolah dulu…Dia ada tag classmate Aisyah tu dekat gambar dia.”

“A’ah, dia budak sport. Girlfriend yang gonjeng.”

Ya Allah ! Betapa aku cuba mengawal emosi dan sebak di dada. Aku sedih kerana dia tak pernah bercerita padaku tentang perempuan itu.

“Mana awak tahu abang ada girlfriend dekat Facebook ? “

“Ooohh…. Dah lama dah. Hari tu kan Abang bagi Aisyah pakai telefon abang tu. Aisyah cuba nak padamkan semua sms yang dah sarat dalam inbox dan sent messages tu… tp kena delete satu-satu pulak, sebab dia tak ada option mark. Takut terdelete sms yang penting. So, Aisyah terjumpalah beberapa SMS abang untuk dia….”

Ujarku seselamba yang boleh, walaupun hakikatnya, hati ini bergetar hebat mengingati apa yang tertulis dalam rangkaian SMS itu. Amar terus diam dan terus keluar. Dia agak tidak selesa untuk beberapa hari selepas itu. Aku dapati, dia telah memadamkan semua perbualannya di facebooknya. Adakah kerana rasa bersalah atau apa, aku tidak tahu. Aku pun tidak pernah lagi bercerita tentang semua itu dengannyu. Aku sebenarnya mengharapkan dia yang akan bercerita.

Ada satu perkara yang aku tidak faham. Wanita seperti SM ini, yang berkenalan dengan lelaki melalui facebook, mengapa mereka tidak berfikir panjang ? Sedangkan di profile suami, terang-terang sudah menunjukkan status berkahwin dan ada juga namaku di situ. Boleh saja dia menambah aku sebagai rakan facebooknya. Jadi pada aku, dia kurang jujur. Amar seorang lelaki yang suka mengusik perempuan. Walaupun ketika aku bersamanya.

Tapi, bila perempuan yang diusiknya bertindak selamba atau tak melayan, dia pun tak kisah dan buat tak tahu saja. Dia cuma menghiburkan dirinya. Aku sangat faham perangai suamiku. Tapi, SM pula suka melayan. Dia memberikan respon yang membuatkan suamiku rasa muda semula. Dia membalas semua ucapan romantik dari Amar. Memang Amar yang memulakan.

Pada tahap ini, aku tidak marahkan SM, tapi jika dia berfikir panjang, selepas melihat suamiku berstatus “berkahwin”, seharusnya dia menjaga dirinya dan maruah wanita. Sepatutnya dia mula membataskan perbualan. Seharusnya dia meletakkan dirinya sebagai isteri lelaki itu. Apakah rasa isterinya jika mengetahui perkara ini. Bagaimana jika suamiku hanya ingin mempermainkan dia ? Dia mahu salahkan suamiku sepenuhnya juga ? Aku juga tidak boleh membantah jika suami ingin mengahwininya, tapi, jika dia tidak serius dengan hubungan itu, macam mana ?

Aku juga takut suami tidak adil dalam melayari rumahtangga berpoligami, kerana permulaannya saja sudah mula berahsia. Apa pun, aku tak mahu buruk sangka. Dan aku masih cuba bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dalam keadaan sarat begini, rutin harianku aku teruskan dan cuba menghindarkan buruk sangka kepada suami. Memang aku tidak menghalang dia berpoligami. Carilah wanita yang baik atau yang susah, yang faham tatacara hidup berkongsi kasih, dan tahu menghormati keluarga suami. InsyaAllah, poligami itu mampu memberikan kemanisan madu yang berpanjangan. Jika isteri-isteri tidak dapat bekerjasama, mungkin suami pun tidak dapat merasakan kemanisannya…. Hari kelahiran anak ini rasanya semakin hampir… aku sudah mula merasakan sakitnya.

Namun masih cuba memenuhi tugas harianku semampu dan sekuat yang boleh. Di satu malam yang hening, aku mula terasa kembang kecutnya rahim. Hujung ari-ariku sudah mula rasa seperti mengembang. Pergerakan bayi juga semakin kurang, sebaliknya dia sentiasa mengeras. Aku mula menelefon ibuku dan ibu mertuaku. Ku pohon ampun dari mereka, ku pohon mereka halalkan semua untukku. Aku juga memohon doa dari mereka untukku.

Ya ALLAH ! Sakitnya tak dapat ku tahan lagi. Malam itu ku cuba tidur, kerana belum ada tanda-tanda seperti keluar darah atau air ketuban pecah. Suamiku nyenyak tidurnya, Aku tak boleh berbaring lagi. Aku tahan lagi sakit itu walaupun airmata sudah membasahi pipi. Bibir ini tidak henti berselawat, berzikir dan membaca surah Al insyirah. Serasa bagai mahu menjerit sekuatnya dek kesakitan yang tidak tertanggung. Subuh kian hampir. Aku tidak mampu menanggung lagi. Bayiku juga semakin kuat mengeras. Terasa bagai mahu pecah perut ini dan sakit di bahagian ari-ari juga tidak tertanggung. Ya Allah ! Berikanlah aku kekuatan ! Ku gegar badan suami.

“Abang, sakit sangat ni…”

Suami terkejut dan terus bangun.

“Nak ke hospital sekarang ? “

Aku angguk lemah… Dia bergegas bangun. Bersiap, mencapai apa yang patut, dan berpesan kepada anak sulungnya untuk menguruskan segala urusan di rumah. Dalam perjalanan ke hospital, aku terus membasahkan bibir dengan zikir dan bacaan surah Al Insyirah. Sampai di kaunter pendaftaran bilik saringan, sempat ku cium tangan suamiku,

“Abang, ampunkan salah silap Aisyah ye…Halalkan semuanya, redhailah Aisyah ye bang….”

“Ye, abang ampunkan, abang redha….Sabar ye.”

Amar mengucup dahiku perlahan. Aku terus di bawa ke bilik saringan untuk diperiksa oleh doktor. “Bukaan puan sudah 8 cm..! Hantar puan Aisyah ke labor room sister”

Aku mula berjuang antara hidup dan mati. Betapa kesakitan itu cuba ku letak ke tepi untuk melahirkan seorang lagi zuriat hasil cinta aku dan Amar. Sesungguhnya Allah saja yang mengetahui betapa dahsyat sakit yang aku rasakan. Dengan bantuan misi dan seorang doktor, dalam masa hanya 45 minit, aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki, satu-satunya putera dalam keluarga kami…

Alhamdulillah ! Hasrat aku tercapai ! Hasratku untuk memberikan anak lelaki kepada Amar dimakbulkan Allah…….Syukur Ya Allah…! Amar masuk dengan agak terkejut. Terkejut kerana agak cepat proses melahirkan kali ini. Dia terus mendukung anak kami yang telah dibersihkan dan terus mengazankan bayi comel itu. Ya Allah…. Airmataku sudah tidak mampu tertahan lagi. Amar senyum dan datang kepadaku dan terus mengucup lembut dahiku. Penuh syahdu dan terasa amat sayu ketika itu….

Selesai semuanya, aku dihantar ke wad bersalin. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Aku lega, semuanya sudah selesai. Hanya kini aku perlu melalui proses berpantang. Tidak lama kemudian Amar dan anak-anak ku sampai. Oh, aku gembira melihat semuanya ada di sini. Mengelilingi ahli baru dalam keluarga. Amar kelihatan sangat gembira. Ya Allah ! Jika aku mampu memiliki rasa gembira seperti ini sehingga ke akhir hayatku ! Sedang saat-saat penuh makna itu ku lalui, telefon amar berdering, tanda ada panggilan. Ku lihat Amar teragak-agak untuk menjawab. Dia menjawabnya jauh dari kami. Aku mula tersentuh dan terdetik, mungkinkah SM yang menelefon ? Kenapa mesti di saat ini ? Dia hendak bertanya khabar tentang aku kah ? Jika betul, kenapa mesti Amar berbicara dengannya secara sembunyi ?

Ah ! Tidak mahu lagi aku fikir, nanti, aku menangis pula di hadapan-anak-anakku. Ku belek-belek wajah bayiku. “Ya Allah ! Semoga anak ini akan menjadi penguat kasih antara aku dan Amar !” Semalaman aku dan bayi di hospital, aku pun dibenarkan pulang oleh doktor. Aku menelefon Amar untuk mengkhabarkannya tentang itu. Setelah aku bersiap-siap, aku menerima panggilan daripada Amar.

“Aisyah, abang minta maaf ye, nanti Sara yang akan jemput Aisyah dari hospital. Suruh dia selesaikan semua. Abang dah bagi dia duit lebih tu. Abang ada urusan penting ni. Tak dapat nak elak, takut tak sempat pulak. Nanti, lama pula Aisyah nak kena tunggu Abang. “

Aku seperti terkedu. “Ye bang…”Balasku lemah.

Dalam 45 minit, Sara, anak sulung Amar sampai. Setelah dia selesaikan semuanya, kami pun pulang. Di rumah, ibu mertuaku sudah siap sedia menyambut kepulangan aku dan bayi. Semalam, Amar sempat menjemput ibunya dari kampung.

“Amar kemana sebenarnya ? Kenapa Sara yang kena jemput pula ? Dia ada urusan apa ?” Tanya emak sebaik aku selesai menidurkan bayiku.

“ Entahlah mak, dia kata penting. Jumpa customer agaknya.” Emak menggeleng-geleng kepala.

Sepanjang seminggu ibu mertua menjaga aku. Luka pun sudah hampir pulih. Aku juga sudah beransur sihat selepas mendapat khidmat urut badan dari Kak Jah, tukang urut di kawasan ini. Namun masih terasa sakitnya. Biasalah tu. Habis tempoh pantang, sembuhlah sepenuhnya. Inikan anak yang ke empat. Aku sudah biasa melaluinya. Amar nampaknya sibuk benar. Nampak macam banyak betul urusan sepanjang aku berpantang ni. Maklumlah, biasanya, aku akan menguruskan hal anak-anak dan pejabat selain dari rumah. Kini, hanya dia dan Sara yang menguruskan semuanya. Dia Nampak tenang dan sentiasa gembira. Mungkinkah kehadiran bayi lelaki ini yang menjadikannya begitu ? Entahlah.

“Hari ni, abang nak hantar mak balik ye. Awak ok kan ? “

“Ok lah bang. Tak pe. Mak memanglah tak boleh lama. Lagi pun Aisyah dah boleh uruskan Aqil sendiri. Kesian mak. Mak pun bukan sihat mana nak tolong Aisyah kat rumah ni. Biarlah mak balik dan rehat di rumah dia.”

“Ok. Abang balik petang ni juga.” Kami bersalaman, dahiku dikucup.

“Hati-hati bang.” “Mak balik dulu ye. Jaga anaknya baik-baik. Engkau pun jangan tak makan Aisyah. Pantang betul-betul.” Pesan emak sebelum masuk ke kereta.

“Ye mak, Terima kasih sebab sudi jaga saya dan cucu-cucu mak ni.” Mak senyum dan mengangguk.

Kereta Amar terus meluncur laju meninggalkan rumah. Selepas Sara menutup pagar, aku terus masuk ke bilik. Agak terkejut kerana ternampak salah satu telefon Amar tertinggal. Lampunya berkelip-kelip. Ada SMS yang belum di baca. Aku terus membaca SMS itu supaya aku tahu ia penting atau tidak untuk memberitahu Amar. Ah! Dari SM. ‘Saya dah sampai umah. Lau sempat, nak jumpa, leh tak ?’ Tulisnya. Aku jadi serba salah. Kalau aku beritahu pada Amar, apa perasaan dia ye ? Aku pasti dia rasa bersalah padaku. Aku tidak mahu dia rasa begitu. Tapi, jika aku tidak beritahu, dia akan tahu juga yang aku sudah membacanya. Aku lantas menelefon Amar.

“Ye lah yang. Telefon abang tertinggal. Abang dah masuk highway lah. Jauh nak u turn. Tolong jawabkan ye kalau ada orang call. “

“Ok bang. Tadi ada SMS.”

“Tengokkan dari siapa ye ? “

“Mmmm…dari SM012, katanya, dia dah sampai rumah, dia nak jumpa kalau abang sempat.” Aku Berjaya mengawal emosi.

“Oh… Ok lah.” Jawabnya dalam nada suara seperti menahan rasa terkejut, dan terdengar seperti bergetar.

“Kalau dia call, nak Aisyah jawab ke bang ?”

“Err… jawablah. Cakap telefon abang tertinggal…eh… er… tak payah jawablah…. Er….”

“Oklah bang…Aisyah tak jawab… kalau kawan-kawan yang Aisyah kenal je Aisyah jawab, eh..”

“Ok..terima kasih,” Ada getar bersalah dihujung suaranya itu.

Talian ku putuskan. Aku duduk di sisi Aqil, bayiku. Anak-anak yang lain sedang membuat aktiviti masing-masing. Mataku mula berkaca menahan sebak. Aku hanyut dalam kenangan lalu. Kenangan di mana hebatnya dugaan dalam cinta aku dan Amar.

“Ya Allah, aku telah lelah dengan perasaan yang tidak menentu ini. Aku tidak mahu lagi hidup dalam dunia yang hanyut. Jika ada jodohku di dunia ini, kau percepatkanlah kehadirannya. Aku redha walau siapapun yang kau takdirkan menjadi suamiku.” Itulah doaku setiap kali usai solat. Aku ditemukan dengan Amar tidak berapa lama kemudian. Kami berkenalan kerana perniagaan. Pada awalnya, aku agak ragu dengan Amar. “Dia nampak macam gangster je. Lepas tu kan, nampak sangat macam orang dah kahwin tau.”

Luahku pada anak buahku yang paling rapat.

“Mak Su suka kat dia ke ? “

“Hish, tak kot. Tapi dia tu macam mengurat Mak Su je tau. Lepas tu, Mak Su asyik teringat aje kat dia. Entahlah Umi…”

Satu hari, Rafi, pembantu Amar bercerita tentang Amar kepadaku.

“Abang Amar tu duda anak tiga. Dah 4 tahun orang rumah dia meninggal. Kesian tengok dia. Tiap minggu ulang alik dari sini ke kampung untuk melihat anak-anaknya. Mak dia yang jaga anak-anak dia.”

“Ooo……macam tu rupanya.”

“Dia memang nampak ceria aje kan. Tapi dalam hatinya, Allah aje yang tahu Aisyah..” ujar Rafi lagi.

“Satu perkara lagi yang penting.”

“Apa dia ? “

“Abang Amar tu suka kat Aisyah. Dia tak pernah rasa macam tu kat perempuan lain selepas arwah isterinya. Rafi pun tak pernah tengok dia macam tu.” Aku terdiam.

Aku pula masih belum pasti tentang perasaan aku padanya. Namun, hubungan kami semakin rapat bila kami mula membina satu perniagaan baru bersama. Dia seorang yang sangat berkarisma dalam berniaga. Dia sangat tegas dan cukup berdisiplin dalam menjayakan apa yang dia mahu. Namun hatinya juga lembut. Dia mudah memaafkan orang yang ada disekelilingnya. Dia juga sangat jujur. Hingga suatu hari, dia menunjukkan kepadaku gambar arwah isterinya serta anak-anaknya dan sijil kematian arwah isterinya. Satu hari, ada urusan yang perlu kami uruskan berkenaan perniagaan, dan kami keluar bersama. Selesai urusan, dia membawa aku bertemu dengan anak-anaknya. Kami berkenalan, dan aku seronok melihat hubungan mereka anak beranak. Sangat mesra.

“Mereka nampaknya macam suka aje dengan awak.” Ujar Amar semasa kami dalam perjalanan pulang.

“Ye ke ?”

“Iya. Dulu, ada juga abang kenalkan dengan dua tiga perempuan lain. Semua kena reject dengan anak abang. Kalau anak-anak abang tak suka, abang pun tak boleh terima.”

“Maksud abang ? “ “Maksudnya, kita dah dapat lampu hijau dari anak-anak abang.” Senyumnya meleret.

Aku pun rasa gembira juga. Aku sebenarnya sudah mula suka pada Amar. Namun ada kerisauan di hatiku. Bagaimana dengan penerimaan keluargaku nanti ? Mereka memang sudah mengenali Amar, sebagai rakan perniagaanku. Tapi itu saja. Mereka tidak mungkin menyangka jika aku mahu memilih Amar sebagai bakal suamiku. Bila satu hari aku menyuarakan hasratku, jelas sekali tentangan hebat aku perolehi dari keluargaku. Mereka mula menyelidik tentang Amar dibelakangku.

Malangnya, maklumat yang mereka dapat, tidak tepat sama sekali. Mereka telah diberitahu bahawa isteri Amar belum meninggal dan Amar seorang kaki perempuan dan gangster. Dari maklumat itulah mereka menghalang hubungan kami. Walaupun puas aku tegaskan yang aku telah melihat sijil kematian arwah isterinya, aku juga sudah menziarahi pusaranya dan aku juga telah bertemu dengan anak-anak Amar, tidak seorang pun mahu percayakan aku. Remuk rasa hati ini !

Aku bukan sedih kerana tidak mendapat restu dari keluarga, tapi aku sedih kerana mereka lebih percaya orang luar dari diriku sendiri. Pergolakan dalam keluarga kami jadi semakin meruncing. Sehingga pernah aku terdengar yang mereka mahu mengurung aku di rumah, dan tidak mahu aku keluar. Bagaimana dengan perniagaanku nanti ? Ianya baru mula berkembang dan mendapat sambutan yang amat positif. Perkembangannya sangat menaikkan semangat aku.

Kalau tak suka aku berhubungan dengan Amar pun, janganlah sampai bertindak hendak mengurung aku macam budak kecil. Aku sudah berusia 23 tahun ! Satu hari, aku mendapat khabar, orang kampugku cuba mengepung Amar dan mahu ‘mengerjakannya’. Ya Allah ! Apa salahnya ? Aku tidak faham. Puas aku terangkan secara baik namun tidak dipedulikan. Aku cuba dapatkan khidmat kanuseling di jabatan agama. Banyak penjelasan, pengajaran dan pilihan jalan penyelesaian yang diberikan oleh Ustaz Zafiruddin.

Akhirnya, aku bertekad untuk tetap berkahwin dengan Amar, memandangkan talah banyak modal wang ringgit aku laburkan dalam perniagaan kami. Itu bermakna, aku dan dia perlu bertemu setiap hari atas urusan perniagaan. Bagaimana pula kami nanti mengawal hati dan nafsu ? Tak mungkin aku menghentikan perniagaan ini begitu sahaja, kerana sebahagian besar modal yang aku perolehi ialah dari wang simpanan ayah ! Itupun, bukan aku yang meminta, tapi ayah yang memberinya.

“Ayah tak kisah, kau nak kahwin dengan duda ke siapa ke, tapi ayah tak suka keluarga kita bergaduh-gaduh. Kalau boleh, carilah orang lain….” Aku terkedu.

Ayah memang dari dulu banyak mengalah dengan kehendak mak dan abang-abangku. Ayah paling tak suka bertelagah dengan keluarga sendiri. Namun, kerana terlalu yakin yang Amar mampu membimbingku menjadi peniaga yang baik dan juga isteri yang baik, aku tekad juga. Telah ramai lelaki yang aku kenali yang hanya tahu mengharapkan cintaku, tapi tidak cuba membimbingku.

Dengan Amar, aku mampu rasa selamat, dan rasa terdidik. Aku juga rasa hormat padanya. Pernah aku putus asa, dan ingin pergi meninggalkan semuanya. Meninggalkan Amar, meningglkan perniagaanku, meninggalkan keluargaku. Aku ingin pergi membawa diri. Tapi aku sedar, aku tidak boleh lari dari masalah. Aku mesti menyelesaikannya. Amar juga pernah menitiskan airmata bila aku memutuskan untuk menghentikan segalanya.

“Sabarlah. InsyaAllah, ada jalan keluarnya. Abang sudah terlanjur teramat sayang pada Aisyah. Tak mungkin abang nak tengok macam tu aje. Apa abang nak cakap dengan anak-anak abang yang dah mula menerima awak ? Mana abang nak cari orang yang mereka suka lagi ? “ luah Amar dengan airmatanya yang pertama kali kulihat mengalir dipipi.

Dalam keadaan itu, pelbagai tohmahan orang kampung lemparkan kepada kami. Maklumlah, di pejabat yang aku sewa di dalam kampungku itu, hanya aku saja perempuan, dan pekerja lain semuanya lelaki. Aku sebagai pengurus perlu mengagihkan gaji mereka yang dibayar secara harian setiap hari, walaupun mereka sampai ke pejabat pada pukul 10 malam. Dari keadaan itu, pelbagai fitnah yang melanda. Akhirnya, kerana tidak mahu fitnah antara kami berlanjutan, kami bernikah dengan mendapatkan perintah dari pejabat Qadhi. Aku terasa kesal kerana mengecewakan keluarga, namun aku perlu terus menghadapi keputusan yang aku pilih. Selama hampir dua tahun aku tidak pulang bertemu keluarga kerana keengganan mereka menerima Amar.

Aku melahirkan anak pertama juga, tanpa pengetahuan ibu bapaku. Namun aku tidak pernah sekalipun menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Aku hanya menyalahkan diriku sendiri. Namun begitu, aku juga bersyukur kerana menikahi Amar. Dia telah membentukku menjadi wanita yang lebih baik dari diriku dulu. Aku amat patuh kepadanya, dan semakin baik sebagai seorang muslimah. Semakin dalam ilmu agama yang aku pelajari dari Amar. Aku mahu menebus kesalahanku pada kedua ibu bapaku. Isteri yang solehah adalah anugerah kepada ibubapanya. Aku cuba menjaga keperibadianku sebagai muslimah sebenar. Aku tidak pernah sebut atau mengungkit soal keluargaku dihadapan Amar.

Aku tidak pernah meminta-minta untuk pulang menjeguk ibu bapa walau di hati ini meronta-ronta kerinduan. Itu semua kerana aku yakin, satu hari nanti, Allah akan permudahkan segalanya. Sehinggalah suatu hari, Abang sulungku tiba-tiba muncul dipagar rumah. Kami bertemu dan berpelukan dalam esak tangis kerinduan. Ya Allah ! Rindu dan sayangnya aku kepada keluarga ku, hanya Kau yang tahu! Namun, aku tidak dapat menjemput mereka masuk kerana Amar tiada di rumah. Kepulangan Amar hari itu ku jamu dengan kisah pertemuan itu.

Alhamdulillah, Amar gembira dan dia terbuka dalam hal itu. “Kalau keluarga awak datang lagi, jemputlah masuk. Abang izinkan.” Sejak itu, pertemuan-demi pertemuan terjadi. Akhirnya, Amar mengizinkan aku pulang ke rumah ibubapaku. Ya Allah ! Betapa pertemuan itu sangat mengharukan ! Hubungan persaudaraan kami kembali terjalin, dan mereka juga nampaknya sudah mula cuba menerima Amar dalam keluarga kami. Namun, Amar tidak cuba bermesra dengan keluargaku. Dia seperti tidak selesa dan tidak pernah mahu pulang ke kampungku bersama-sama kecuali di hari lebaran.

Setiap tahun, hari raya pertama dan kedua, pasti aku mengikut Amar ke rumah keluarganya tanpa banyak soal. Aku tidak pernah persoalkan keputusannya, kerana aku faham dia mempunyai tanggungjawab besar sebagai anak lelaki dan anak sulung dalam keluarganya yang mana telah kehilangan ayah. Awal kehadiran aku dalam keluarganya juga mendapat sambutan dingin. Aku sering diperli sebagai perempuan gatal, yang tak sabar hendak berkahwin, dan macam-macam gelaran lagi. Maklumlah, rupaku bukanlah cantik, dan pendidikanku pula tak sehebat adik-beradiknya yang lain.

Terlalu hina aku dipandangan keluarganya. Namun aku tidak pernah mengisahkan semua itu. Aku terima dengan hati terbuka dan redha. Itulah ‘bahagianku” yang perlu aku tanggung. Amar tidak pernah kuadukan jika ada kata-kata pedih dari adik beradiknya yang lain. Aku sedar siapa aku. Aku juga tidak pernah memaksa anak-anaknya memanggil aku emak atau mama atau ibu. Cukuplah dengan panggilan Cik Aisyah. Biarlah panggilan itu ikhlas dari hati mereka. Bukan kerana terpaksa. Namun setelah 4 tahun hidup sebumbung, mereka tanpa disuruh-suruh memanggil aku “Mama”.

Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah.

“Uuuweek..!”Esak tangis Aqil menyedarkan aku dari lamunan.

Oh ! Kenangan yang amat menyentuh jiwa ! Sudah hampir petang. Aku perlu membersihkan Aqil. Malam itu, Amar membelikan sate untuk hidangan makan malam kami sekeluarga. Selesai makan, aku menemani Amar di bilik, memandangkan Aqil tidur nyenyak.

“Abang, abang cakaplah kalau abang ada suka kat mana-mana perempuan. Insya Allah Aisyah boleh terima. Aisyah pun isteri abang yang ke dua. Aisyah bukanlah wanita pertama dalam hidup Abang.” Diam seketika.

“Aisyah, abang akan beritahu kalau abang betul-betul nak kahwin dengan sesiapa. Aisyah jangan risau. Kalau abang ada berkenan, abang akan beritahu.”

“Habis tu, Siti Maslinda tu macam mana ? Abang tak cukup serius ke dengan dia ?”

“Oh! Dia ? Entahlah. Abang belum pastilah….Kenapa ni ?”

“Bukan apa bang, kalau abang tak serius, janganlah abang layan sangat. Bahaya bang. Kalau dia betul-betul harapkan abang, tapi abang sebaliknya, macam mana ? Kesianlah kat dia bang. Datang masalah lain pulak nanti.”

“Alahhh… Dahlah. Abang tak nak cerita pasal nilah. Abang tak ada apa-apa.” Aku terus diamkan diri. Masih tidak yakin dengan jawapan dari suamiku. Aku tak mahu dia menyembunyikan semua itu hanya untuk menjaga hatiku.

Lebih baik aku mendengar kejujuran darinya walaupun pahit. Aku pasti, cemburu akan mengusik hati ini, tapi, lebih mudah aku menerimanya jika ia ku ketahui dari bibirnya sendiri, daripada aku mengetahuinya dengan cara lain. Ya Allah ! Perjelaskanlah semuanya kepadaku ! Aku benar-benar ingin tahu, apa perasaan Amar kepada Siti Maslinda, dan apa pula perasaan Siti Maslinda kepada Amar. Aku terasa seperti ingin membuat tindakan sendiri. Tapi, aku masih hormat pada Amar.

“Ya Allah ! Aku tidak mahu buruk sangka kepada suamiku ! Tapi aku tidak tahu apa yang harus aku perbuat lagi. Kau tunjukanlah jalan kepadaku ya Allah !”

Sudah genap 40 hari aku berpantang. Semakin sihat rasa badanku. Jamu yang aku beli dari Kak Intan itu memang mujarab. Walaupun agak mahal, tapi ia baik untuk kesihatan dalaman dan luaran. Esok, aku akan mula ke pejabat. Malam itu, Amar kata dia tidak mahu keluar atau ke mana-mana, walaupun diajak oleh kawan-kawan meja kopinya. Aku hanya tersenyum kerana aku tahu Amar penat melayan karenah kawan-kawannya itu.

“Kalau sesiapa telefon, cakap abang dah tidur ye yang. Malam ni abang nak tengok tv dengan anak-anak. Letihlah hari-hari layan dia orang tu… hehehe…” ujar Amar lalu membaringkan dirinya di hadapan televisyen.

“Baik bang. Nanti Aisyah jawabkan.” Selesai mengemas dapur, aku bermain-main dengan Aqil yang baru bangun dari tidurnya. Semakin montel Aqil. Kakak-kakaknya juga sibuk mengelilingi dia. Hmmm….. sekarang dah pukul 10, kejap lagi tidurlah Aqil ni. Waktu berjaganya, biasanya pukul 3-4 pagi. Biasalah, bayi sebaya ini belum dapat bezakan malam dan siang secara tepat. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi telefon Amar. Ku capai dan nama yang tertera adalah SM012.

“Jawab yang, cakap abang tidur tau,” ujar Amar tanpa mengetahui siapa yang menelefon.

Aku menjawab panggilan itu dengan hati yang berdebar.

“Helo.” Lafazku. “Hhh…helo.” Balas suara di hujung talian.

Kedengaran agak gugup.

“Aaa…Abang Amar ada ?” Sambungnya lagi.

“Maaflah, abang dah tidur.” Aku cuba mengawal perasaan.

“Ohh…Mmmm…ok. Tak apalah.” Talian diputuskan.

“Siapa yang ? “ Soal Amar dengan dahi berkerut.

“Mmm..namanya, SM012.” Wajah Amar berubah.

“Oh….Apa dia kata ? “

“Dia tanya abang, Aisyah cakap abang dah tidur, dia kata, ok, tak apa.” Terangku seringkasnya, lalu menyerahkan telefon itu kepada Amar.

Aku terus berlalu dan mendapatkan Aqil. Fiiranku mula berputar-putar. Mula berfikir lagi tentang SM. ‘Oh! Masih berhubung lagi rupanya mereka. Ah! Apa lagi yang nak aku risaukan. Bukankah Amar dah kata, dia tak ada apa-apa.’ Ku ambil Aqil dan menyusukannya. Aku mahu lupakan tentang itu. Dari jauh ku lihat Amar yang sudah duduk, sedang rancak berSMS dengan seseorang, dan hatiku mengatakan ia adalah SM. ‘Uh! Malaslah nak beratkan fikiran lagi. Lebih baik mama layan Aqil, kan sayang…’ Aku membawa Aqil ke bilik, dan menyusukannya sambil berbaring. Beberapa minit kemudian, Aqil pun tertidur. Aku hampir-hampir terlelap. Aku perasan Amar masuk dengan perlahan-lahan, mungkin tidak mahu mengganggu Aqil. Dia duduk di sebelahku dengan amat berhati-hati. Aku pura-pura tidur.

“Maafkan abang yang. Abang tak ada niat nak sakitkan hati awak. Abang sayang sangat dengan awak dan anak-anak. Tapi, susah pula abang nak lupakan gadis ini. Abang pun berharap untuk tidak meneruskan hubungan kami. Tapi, kami semacam susah nak berjauhan. Tentulah abang lebih sayangkan awak, tapi abang tak boleh lupakan dia.” Bisik Amar sambil mengusap rambutku.

Aku cuba menahan getar di dada.

“Abang tak tahu nak buat apa yang. Abang tak tahu bagaimana ingin menolak dia.” Sambungnya lagi lantas mencium kepalaku.

Airmata tak mampu lagi ku tahan. Getar badanku semakin kuat. Esak tangisku bermula. Amar memelukku dari belakang. Dia juga menangis rupanya.

“Abang, Aisyah tak mahu melarang. Jika hati abang dan dia sudah terpaut, tak elok dilayan tanpa ada pertalian yang sah. Dosa bang. Zina hati bang…… Aisyah tak mahu abang berdosa. Kalau abang tak mampu kawal hati, abang bernikahlah dengan dia.” Walau berat, namun berjaya aku lafazkan.

Semakin erat rangkulan Amar. Bertalu-talu dia mengucup kepalaku.

“Abang minta maaf sayang. Abang tidak terfikir hendak memadukan awak. Abang keliru dengan diri abang sendiri.” Aku cuba menghentikan esakkan ku. Aku duduk menghadap Amar. Ku genggam tangannya.

“Abang, abang fikirkan semula. Apa sebenarnya asas hubungan abang dengan dia. Adakah kerana nafsu ? Jika benar, mampukah abang tahan semua itu dan lupakan dia begitu sahaja ? Aisyah tak mahu abang berada di sisi Aisyah, tapi hati abang bersama dia. Tiada makna buat Aisyah bang..” Airmataku masih bercucuran. Amar diam. Dia merenung aku dalam-dalam.

“Apa harus abang buat Aisyah ? “

“Abang dah istikharah ? Aisyah tak tahu hati abang. Aisyah tak boleh buat keputusan untuk Abang. Kalau abang berpoligami pun, tanggungjawab yang besar adalah di bahu abang. Abang mesti ingat semua tu. Aisyah tidak ada kuasa melarang.” Semakin kuat genggaman Amar.

Renungannya seakan sangat mengharapkan penyelesaian dariku.

“Abang, kenalkanlah dia dengan Aisyah. Biar kami saling mengenali, kemudian abang boleh nilai sendiri jalan mana yang abang nak pilih.” Amar tunduk.

Entah apa yang dia fikirkan dengan kata-kataku. Ya, aku mahu mengenali gadis yang berjaya mengusik hati suamiku. Aku ingin mengenali hati budi yang ternyata bisa menggoyangkan iman imamku. Hari minggu yang tenang. Seperti biasa, telah aku siapkan semua tugasan di rumah. Amar mengajakku keluar. Dia minta aku bersiap. Keluar tanpa anak-anak, kecuali Aqil, katanya. Aku hanya menurut. Dia membawa kau keDanga Bay. Kami mencari satu tempat duduk yang redup, di bawh pokok-pokok yang merimbun. Masih awal, baru pukul 10 pagi.

Amar mendapatkan sesuatu untuk aku. Kembalinya Amar, dia membawa minuman bersama seseorang, dan aku tahu siapa orang itu. Aku sudah mengaggak dari awal lagi.

“Aisyah, ii..iii…inilah Siti Maslinda.” Ujar Amar dengan agak gugup.

Ku lihat, gadis itu agak payah untuk membalas pandanganku. Aku hulurkan tangan untuk bersalaman. Salam ku di sambut namun sekejap sahaja.

“Abang, abang bawalah Aqil pusing-pusing. Biar Aisyah berkenalan dengan dia.” Ucapku dengan senyuman.

Aku cuba sedaya upaya bersahaja. Alhamdulillah, tiada perkara buruk terlintas difikiranku. Amar bersetuju dengan permintaanku, lalu beredar membawa Aqil.

“Apa khabar linda ? Boleh akak panggil dengan nama tu ?” Aku memulakan perbualan.

“Boleh….err… saya baik aje kak…” jawapannya agak terketar-ketar.

“Linda jangan lah risau. Akak tak ada apa-apa. Kita berkenalan macam kawan aje. Ok ?“ ujarku yang semakin tenang.

“Ye kak.” Sambutnya.

“Akak tak mahu tahu tentang apa yang Linda buat, contohnya kerja linda atau aktiviti linda. Itu hak linda. Akak pasti, Abang Amar dah tahu semua tu. Kan ?” Dia hanya mengangguk.

“Boleh akak terus ke perkara utama ?” Dia mengangguk lagi.

“Ok. Linda serius ke dengan Abang Amar ? “ Dia memandang sekilas wajahku, lalu tunduk.

“Ya kak.” “Keluarga Linda dah tahu ke ?” Dia menggeleng.

Aku dah mengagaknya. Sebenarnya, aku tidak mahu Amar melalui lagi satu tentangan keluarga. Aku kesiankan Amar. Cukuplah dugaan waktu kami ingin bersama dulu. Di usianya kini, entah mampukah dia menangani semua itu lagi.

“Linda bersedia untuk berkongsi segala-galanya ? Akak tidak melarang jika abang nak meluangkan masa bersama linda nanti. Tapi, linda juga mesti faham, abang punya anak yang ramai. Akak tak mahu nanti linda fikir, akak menggunakan anak-anak sebagai alasan untuk sentiasa mencuri masa abang dari linda. Akak juga tak nafikan perasaan cemburu akak ada. Akak cuma wanita biasa.” Dia diam. Wajahnya menunduk seolak merenung jauh ke dalam bumi.

“Linda bersedia mengenali Abang Amar ? Dia ada bermacam karekter yang tersembunyi. Kalau linda benar-benar serius, linda perlu bersedia juga dengan keluarga Abang. Maafkan akak linda. Akak bukan hendak mengugut atau menakut-nakutkan linda dengan semua pertanyaan tadi. Cuma, akak perlu jaga semua tu untuk kepentingan Abang Amar, keluarganya dan Linda sendiri.” Aku cuba mengukir senyuman kepada linda.

“Linda tak mahu cakap apa-apa ke ? Tak mahu tanya akak apa-apa ke? Akak tak kisah. Akak bersikap terbuka.” Dia mengangkat wajahnya. Suasana sunyi seketika.

“Kak. Saya tak sangka, sebegini tenang penerimaan akak tentang perkara ini. Tak perlulah saya melihat kemesraan akak dengan Abang Amar, saya melihat akak sendirian di sini, setenang dan setabah ini saja, sudah membuatkan saya cemburu. Cemburu kerana saya tak setabah ini kak. Hati saya ini meronta-ronta ingin memekakkan telinga dan tak mahu dengar apa-apa pun yang akak katakan. Kerana saya terlalu cemburu, dan saya tahu saya tak mungkin boleh menjadi seperti akak…..” Aku diam.

Kulihat airmatanya mengalir.

“Saya sudah sangat menyayangi abang Amar. Tapi saya tak yakin saya mampu menghadapi semua itu kak. Saya sendiri tak pasti sejauh mana Abang Amar meletakkan hubungan kami dalam hidupnya. Salah saya yang tidak cuba mengundur diri saat tahu dia sudah berkeluarga. Saya sangat tertarik denga dia.” Aku hanya tersenyum.

“Akak faham. Abang Amar punya karekter yang membuatkan orang mudah mesra dengannya. Berbual dengannya membuatkan kita seronok. Dia pandai menggembirakan hati orang lain. Dia pandai menghilangkan serabut di kepala orang lain. Dia memang macam tu Linda. Dengan sesiapa sahaja dia akan tersenyum dan ketawa. Dia sangat mesra dan bijak mengubah suasana. Sebenarnya, ada beberapa perempuan lain yang pernah cuba merapati dia. Sebelum akak, sebelum linda. Hanya dia yang tahu, siapa yang dia mahu.” Kami diam. Aku merenung Singapura yang jelas kelihatan dari situ.

“Linda sudah tahu pendirian akak. Akak terima keputusan Abang Amar seadanya. Apa juga yang bakal akak tempuhi, akak cuba redha seikhlasnya. Akak hanya wanita biasa. Bagaimana dengan Linda ?” Dia membisu.

Ku lihat dari jauh Amar semakin menghampiri kami.

“Beginilah Linda. Linda fikirlah. Apa jua keputusannya, linda boleh berbincang dengan Abang Amar. Nasihat akak, jangan lupa, dapatkan keizinan dari keluarga. Jangan sampai ada yang tidak setuju dengan keputusan Linda nanti. Abang Amar pun dah sampai tu.”

Aku menghampiri Amar kerana terdengar rengekan dari Aqil. Aku mengambil Aqil dari strollernya. “Aqil haus agaknya bang. Minta kunci kereta bang. Biar Aisyah susukan Aqil di dalam kereta. Aisyah tunggu abang.” “Ok. Nanti abang datang.” Aku terus berlalu meninggalkan mereka di situ. Terlena Aqil selepas kenyang disusukan. Amar tiba dengan wajah yang masih kusut. Diam tanpa sepatah kata, dia memandu pulang. Seminggu berlalu, rumah kami seperti sunyi sepi. Hanya gurauan sesama anak-anak sahaja yang ada. Amar ku lihat seperti orang bingung. Ada saja yang tak kena di matanya.

Ada saja yang membuatkan dia marah. Aku biarkan dia begitu. Tidak mahu banyak soal. Di hari minggu begitu, anak-anak sibuk membersihkan bilik mereka, membersihkan rumah, dan bergurau senda. Aku berbaring di bilik bersama Aqil, menghilangkan lelah setelah bersama-sama anak-anak mengemas kawasan rumah tadi. Amar berdiri di pintu memerhatikan gelagat Aqil yang semakin lincah menggerakkan kaki dan tangannya. Ditangannya, Samsung Galaxy tidak pernah lepas. Sudah seminggu begitu. Tiba-tiba tak semena-mena, Ariana masuk berlari cuba menerpa ke arah Aqil. Tanpa sengaja dia melanggar tangan Amar dan telefon Amar terlepas dari genggaman tangannya. Amar ku lihat, tanpa berfikir panjang terus memukul punggung dan kaki Ariana dengan kuat. Melaung-laung Ariana kesakitan. Mengelakkan perkara yang lebih buruk, aku terus merangkul Ariana dan menariknya jauh dari Amar.

“Dahlah bang! Kalau ye pun marah, janganlah pukul anak macam orang gila. Budak ni baru 4 tahun bang!” Marahku sambil cuba mengingatkannya.

Ariana teresak-esak di dalam pelukanku. Berbekas pukulan-pukulan dari Amar tadi. Merah di sana sini. Kesian Ariana. Jelas kelihatan bekas pukulan itu memandangkan kulitnya yang putih melepak. Mengalir airmataku melihat gelagat Amar. Dia mencapai telefonnya dan memeriksa kerosakannya. Aku terus memujuk Ariana.

“Sudahlah Ariana. Tak mau nangis lagi ye. Mama ada. Ayah tengah banyak masalah. Ariana janganlah buat macam tu lagi. Kesian Ayah. Dia bukan marah pada Ariana. Dia marah pada diri sendiri. Ayah sayang Ariana tau.” Pujukku. Amar merenungku.

Tiba-tiba terpancar rasa bersalah di wajahnya. Dia memeluk Ariana. Dia mendukung Ariana dan membawanya keluar sambil terus memujuk Ariana yang cuba melepaskan diri dari pelukannya. Aku hanya memerhatikan dari jauh. Airmataku mula mengalir. Amar berubah ke ? Ya Allah ! Janganlah Kau jauhkan hati kami ! Kau teguhkanlah ikatan kasih antara kami Ya Allah!

Lebih kurang setengah jam kemudian, Amar muncul dengan Ariana yang telah terlelap di bahunya. Dia membaringkan Ariana di sebelah Aqil. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan aku.

“Baca ni.” Katanya lalu menghulurkan telefonnya kepadaku.

“SMS dari Linda.” Aku mencapainya dan terus membaca.

‘Abang. Cukuplah setakat ini sahaja. Linda ingin mengundur diri. Rasanya, Linda tak mampu berkongsi Abang. Linda juga tak mahu merampas Abang, kerana Linda tahu Abang sangat bahagia bersama anak-anak dan isteri sebaik Kak Aisyah. Linda pasti, sekuat manapun Linda berusaha, Linda tak mungkin akan jadi sehebat kak Aisyah. Abang telah temui harta yang amat bernilai dalam hidup Abang. Jagalah ia sebaik-baiknya. Terima kasih atas semua masa dan perhatian dari abang selama ini. Minta halal semuanya. Sampaikan salam Linda kepada kak Aisyah. Linda akan jadikan kak Aisyah sebagai contoh seorang muslimah yang bermaruah.’

Aku tidak tahu bagaimana reaksi yang sepatutnya. Aku memandang ke arah Amar. Dia menggenggam tanganku.

“Abang tahu abang punya isteri yang baik. Tapi abang tak sangka abang punya isteri yang sangat mulia. Ketulusan dan keikhlasan Aisyah telah memudahkan semuanya.”

“Abang boleh terima ke keputusan Linda ? Mampukah Abang lupakan Linda ?”

“Abang yakin, bersama Aisyah, Abang mampu lakukan apa sahaja. Terima kasih Aisyah. Abang tidak akan mengulangi semua ini lagi.”

“Abang, Aisyah tak mahu abang menabur janji. Masa depan tak mingkin kita ketahui. Apa yang Aisyah mahu, cuma kejujuran dari Abang. Janganlah rahsiakan apa-apa dari Aisyah. Aisyah sedia terima walau apa pun dari Abang.” Genggaman Amar semakin erat. Aku dirangkul dalam pelukannya. Hangat kasih sayang kami kembali membara……

Artikel disumbang oleh : Rashidah

Blog : ayurashidah.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in CERPEN and tagged , , , , . Bookmark the permalink.