Prolog: Kenangan Lalu

Malam aku hanya ditemani bunyi rintik hujan yang rancak dan hangat menari di luar rumah. Mungkin  mahu menemani aku agar tidak sepi dan sunyi. Kepalaku terletak kemas di atas bantal yang empuk, penemanku di kala aku keletihan. Dingin sekali malam ini. Sedingin perasaan di dalam hatiku. Sudah jam dua pagi. Tubuhku begitu letih. Aku cuba melelapkan mata namun terasa mata ini terasa segar walaupun akal sudah memberat.

“Ish, kenapa susah betul hendak tidur? Baik aku sambung tulis cerpen aku yang tak siap-siap ni.”

Aku bingkas bangun daripada pembaringan. Sepasang kaca mata berbingkai hitam yang terletak di tepi meja kecil aku capai. Aku letak kemas kaca mata itu di mukaku. Aku bergerak menuju ke suis lampu bilik. Bilik yang gelap mula terang-benderang disimbahi cahaya lampu kalimantang. Spontan aku mengecilkan mata. Pupil mataku hebat bekerja mengadaptasi kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mataku.

“Aduh, sejuk betul malam ni.” Badanku menggigil.

Aku merungut sambil almari baju dibuka. Sweater hitam belang kuning UNiSEL kegemaran aku disarung ke tubuh. Tiba-tiba mata aku terpaku pada sebuah kotak yang berwarna hijau. Kotak hijau yang penuh dengan kenangan lalu. Kedua tanganku mengangkat kotak itu dan aku letak di atas katil. Dengan perlahan, penutup kotak itu aku buka.

Satu nafas berat aku helakan apabila aku melihat isi yang terkandung dalam kotak itu. Surat, kad ucapan pemberian seseorang yang pernah aku cintai dahulu. Diari aku yang penuh dengan catatan bersama dia juga terletak rapi di dalam kotak itu. Segala kenangan yang tersimpul rapi bersama surat dan kad itu mula menari di hadapan mataku. Aku rasakan masa terhenti seketika.

Sampul pertama kubuka. Surat kutarik keluar. Aku tersengih sendirian apabila aku baca ayat pertama dalam surat itu. Kelakar bila teringatkan ketika kali pertama aku berkenalan dengan dia. Habis surat pertama kubaca, surat kedua pula aku ambil. Sepanjang malam aku habiskan dengan membaca surat dan diari yang penuh dengan momen indah suatu ketika dahulu.

Aku mula hanyut dalam lautan memori.

Satu: Menanti Hari Bahagia.

Telekung putih bersih itu disarung rapi. Stokin kaki berwarna hitam disarung kemas ke kaki. Setelah berpuas hati melihat diri di cermin, aku menguak pintu jendela bilik. Udara pagi dihirup. Pagi Ahad yang indah disinari cahaya mentari pagi sememangnya mendamaikan hati sesiapa sahaja. Aku menanti ibu dan ayah bersiap ke surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di dalam bilik tidurku. Aku memandang bahagia langit membiru ceria. Hatiku girang kerana dalam masa beberapa bulan sahaja lagi aku akan menjadi isteri kepada lelaki yang aku kasihi, Mohd Zamri. Senyuman semakin melebar bila aku teringat momen indah dalam hidupku ketika Zamri datang ke rumah untuk menyuarakan hasrat untuk menyunting diriku menjadi isterinya semasa cuti persekolahan yang lalu.

“Pak cik, mak cik. Saya serius dengan Marsya. Saya ingin meminta kebenaran pak cik dan mak cik untuk berkahwin dengan Marsya.” Kata Zamri dalam nada yang tegas dan yakin.

Aku tertawa kecil apabila teringat riak muka Zamri ketika itu. Bahagia. Itu sahaja yang mampu aku katakan. Aku berkira-kira hendak menelefon Zamri setelah pulang dari surau.

“Marsya sudah siapkah?” Lamunanku terjeda apabila ibu memanggil dari ruang tamu.

“Sudah, sebentar ibu.” Aku mengambil kain telekung dan dimasukkan ke dalam beg yang berwarna coklat pemberian Zamri ketika hari jadiku setahun yang lalu.

Surau Al-Ikhwan masih lengang lagi dengan kehadiran para jemaah. Aku, ibu dan adik perempuannya masuk ke dalam surau dan menuju ke bahagian wanita. Aku bersalaman dengan jemaah wanita yang sudah tiba lebih awal. Seperti biasa aku pasti mengambil tempat di saf paling hadapan. Imam surau dan jemaah lelaki rancak mengalunkan takbir dengan merdu sekali.

Aku tenang mendengar alunan takbir. Hatiku berdoa agar aku bisa mendengar Zamri bertakbir setelah kami sah menjadi suami isteri. Aku menarik sengih bila membayangkan saat indah yang bakal dikongsikan bersama Zamri nanti.

 

Dua: Saat Kesetiaanku Dipermainkan.

“Awak ada apa-apa hubungan dengan Fatehah kah? Tolong jujur dengan saya. Saya tak pernah tipu awak selama ni. Tolong jawab soalan saya dengan jujur.” Terdengar getaran di hujung suaraku. Aku berharap Zamri tidak ada apa-apa hubungan dengan Fatehah.

“Entahlah.” Jawab Zamri pendek. Nada suaranya seperti dalam keraguan.

“Awak ada hubungan dengan dia atau tidak?” Suara aku sedikit keras.

“Maafkan saya, Marsya. Saya rasa sudah jatuh cinta dengan Fatehah.” Bicara Zamri di dalam telefon.

Muka aku menjadi panas. Airmata yang ditahan sejak tadi akhirnya meleleh tumpah dari tubir mata milikku. Aku tidak menyangka kesetiaanku kepada Zamri selama ini rupanya dipermainkan oleh lelaki muda yang telah aku kenali selama lima tahun itu.

“Baiklah. Sekarang awak pilih siapa? Saya atau Fatehah?” Aku menahan esakkan.

“Ikut hati… awak.”

“Saya tak mahu ikut hati. Saya mahu dari perasaan awak. Antara saya dan dia, siapa yang awak paling suka sekarang?!” Aku mula meninggikan suara. Kecewa dengan jawapan Zamri.

“Fatehah.” Balas Zamri, pendek.

Aku terkedu. Lidahku kelu untuk berbicara lagi. Hanya linangan airmata dapat menggambarkan betapa hancurnya hati ini. Esakkan mula kedengaran memenuhi setiap ruang dalam bilik tidur.

“Tak bolehkah saya pilih dua-dua?” keluh Zamri.

“Awak memang teruk, Zamri. Awak permainkan hati saya setelah awak ajak saya berkahwin dengan awak. Sampai hati awak buat saya macam ni. Saya setia dengan awak. Saya sudah tekad hendak berkahwin dengan awak selepas awak merayu kepada saya tempoh hari. Tapi awak buat saya macam ni.” Bicaraku tersekat-sekat kerana menahan tangisan. Dadaku berombak kencang menahan perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih dan kecewa.

“Maafkan saya.”

“Sudahlah. Lepas ni kita sudah tiada apa-apa hubungan. Memandangkan awak sudah membuat keputusan, saya doakan awak bahagia dengan dia. Awak pun tolonglah doakan saya supaya saya mendapat lelaki yang jauh lebih baik daripada awak. Lagipun keluarga awak tidak merestui hubungan kita. Assalamualaikum.”

Aku menekan butang tamat panggilan. Mukaku disembam ke bantal kepala. aku menangis semahu-mahunya. Kecewa yang teramat menguasai diri.

“Ya Allah, kenapa dia sanggup permainkan aku sebegini rupa? Lima tahun aku bazirkan masa menunggu dia.”

Airmata terus mengalir tanpa segan. Bantal kepala mula basah dengan airmataku. Kepala mula terasa berat. Dada mula terasa sesak untuk bernafas. Hatiku hancur dan remuk bagai kaca jatuh ke lantai.

 

Tiga: Ibu, Ayah. Maafkan Aku!

 Aku menarik nafas sedalam yang mungkin. Mengumpul kekuatan untuk memulakan bicara dengan ibu. Aku melabuhkan punggung di atas sofa lembut berwarna coklat di ruang tamu. Mataku dipejam rapat sebelum mengeluar sebarang kata-kata.

 “Ibu, Zamri sudah ada perempuan lain.” Aku berkata perlahan kepada ibu yang sedang asyik menonton rancangan Masterchef di Astro Ria. Aku cuba menahan getaran di dalam suaraku.

Ibu monoleh ke arahku. “Ha? Biar betul? Hari tu beria-ia hendak berkahwin dengan Kak Long?” Soalan ibu bertubi-tubi menyinggah di telingaku.

“Entahlah, bu. Dia cakap ayah dan kakak dia tak benarkan Zamri berkahwin dengan Kak Long. Lepas tu dia cakap dia suka cikgu yang satu sekolah dengan dia. Macam-macam alasan dia beri.” Suaraku sebak.

“Bila Kak Long tanya dia pilih siapa, dia pilih perempuan tu. Dia teragak-agak bila Kak Long tanya semalam. Rupanya dia permainkan Kak Long selama ni.”

Ibu memandang aku dengan pandangan yang sayu. Matanya berair. Mungkin sedih melihat aku. Mata aku masih bengkak lagi kerana semalaman aku menangis.

“Sudahlah tu Kak Long. Sudah tiada jodoh. Allah sudah menjawab segala doa ayah, ibu dan kak long. Kan Kak Long buat solat istikharah dulu? Allah sudah bagi petunjuk yang Zamri memang bukan yang terbaik untuk Kak Long.” Ibu meraih aku ke dalam pelukannya. Aku menangis. Airmata mengalir deras.

“Sabar, redha dengan aturan Allah untuk Kak Long.” Ibu memeluk aku dengan erat, cuba menenangkan aku. Aku dengar suara ibu menahan sebak. Aku tahu ibu sedang menangis bersama aku.

“Maafkan Kak Long, bu sebab dah susahkan ayah dan ibu pergi ke kampung dia. Jauh pula tu. Maafkan Kak Long.” Aku teresak-esak meminta maaf. Kesal kerana ibu dan ayah terpaksa menyusahkan diri mereka ke Terengganu untuk melihat keadaan kampung Zamri. Ayah dan ibu begitu sayangkan aku. Itu yang membuatkan aku sebal dengan sikap Zamri dan keluarganya yang tidak serius dan sanggup mempermainkan perasaaan aku dan keluargaku.

“Pasti ada yang lebih baik untuk Kak Long. Sabarlah, kita doa sama-sama ya?” Ibu mengusap lembut kepalaku.

“Emm.” Aku mengangguk lemah.

 

Empat: Ya Allah, Tabahkanlah Hatiku.

 Aku hadir ke sekolah dengan mata yang bengkak. Puas aku cuba menyembunyikan bengkak mataku dengan bedak namun gagal. Jam di keretaku menunjukkan jam 7.15 pagi. Aku memakir keretaku di bawah tempat letak kereta yang berbumbung. Aku menarik nafas lega. Kebanyakkan guru lain masih belum sampai ke sekolah. Enjin kereta Myvi berwarna putih kesayanganku, aku matikan. Kunci kereta dicabut daripada tempatnya. Beg komputer riba berjenama HP aku ambil keluar daripada tempat duduk belakang. Pintu kereta aku buka dan aku melangkah keluar. Longlai. Sedih.

 Hari ini, aku lebih banyak menundukkan muka dan cuba mengelak daripada berbual dengan guru-guru yang lain. Aku bernasib baik kerana aku berada dalam minggu-minggu terakhir untuk sesi persekolahan tahun ini. Pihak sekolah telah merancang pelbagai aktiviti untuk para pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.

Aku lebih banyak duduk di bilik guru sahaja. Melayan perasaan sambil menyiapkan tugasan sebelum cuti persekolahan bermula.

“Marsya, kenapa nampak monyok sahaja?” Kak Azlina merapati aku. Kak Azlina merupakan teman sekerjaku. Tempat duduknya di sebelah aku sahaja. Aku paling rapat dengan Kak Azlina di sekolah itu.

“Hmm. Tak ada apa-apalah kak. Penat sedikit.” Aku menjawab dengan suara lemah.

“Yakah? Mata bengkak tu. Mesti ada apa-apa ni.” Kak Azlina merenung wajah sungulku.

“Hmm. Entahlah kak. Saya sudah putus dengan Zamri.”

“Ha? Kenapa?” Jelas terpancar riak terkejut di wajah Kak Azlina setelah dia mendengar kata-kataku sebentar tadi.

“Dia suka perempuan lain. Dia sudah tak mahu berkahwin dengan saya lagi.”

“Mana Marsya tahu?”

“Saya call dia kak. Perempuan tu pun saya call semalam. Frust betul saya.”

“Sabarlah Marsya. Apa guna Marsya menangis untuk lelaki yang macam tu. Lagipun apa yang hendak dibanggakan dengan cinta yang tak halal. Ibarat rumah buruk yang menanti masa untuk roboh.” Kak Azlina menenangkan perasaanku.

“Lupakan lelaki macam tu. Tak berbaloi pun jadi isteri dia. Alhamdulillah, Allah tunjukkan kebenaran sebelum Marsya berkahwin dengan dia.” Belakang badanku diusap lembut oleh Kak Azlina.

“Pasti si soleh dalam perjalanan mencari Marsya. Mungkin dia terlindung dek pohonan di jalanan. Jangan risau ya. Memang Marsya sedih sekarang tapi percayalah pasti ada hikmah yang tersembunyi yang kita tak tahu.”

“Yela kak. Insha Allah. Saya yakin dengan janji Allah. Dia pasti balas kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan. Terima kasih kak sebab sokong saya.” Aku menyeka airmata di pipiku yang tanpa segan silu mengalir keluar.

 

Lima: Aku Terjeda.

 Angin bertiup lembut menyentuh pipiku. Aku turun daripada kereta yang dipandu oleh adik perempuanku. Pagi tadi aku menerima panggilan daripada seorang teman lama. Dia mahu bertemu aku di Giant Senawang. Aku melihat jam tanganku. Sudah pukul lima petang. Aku tergesa-gesa menarik tangan adikku masuk ke dalam Giant.

Aku bergerak menuju ke Restoran Seri Selera yang terletak di dalam Giant. Satu susuk tubuh lelaki muda yang telah lama tidak aku temui sudah setia menanti aku di sebuah meja yang terletak berhampiran dengan pintu masuk restoran. Dia melambai-lambai ke arahku. Adik meminta kebenaran untuk masuk ke Popular untuk membeli majalah kegemarannya.

“Assalamualaikum, Amir.” Aku merapati Amir, seorang teman yang aku kenali sejak lima tahun yang lalu. Amir Haikal merupakan teman baik Zamri sejak di bangku universiti lagi. Kebetulan dia juga ditempatkan di sekolah berhampiran dengan sekolah aku.

“Waalaikumussalam. Jemput duduk. Kau hendak minum apa?” Amir memanggil pelayan untuk membuat pesanan.

Fresh orange.”

“Apa tujuan kau hendak berjumpa dengan aku?” Aku bertanya.

“Hmm, aku hendak minta maaf dengan kau, Marsya.” Amir menundukkan wajahnya.

“Minta maaf apa pula ni? Bila pula kau ada buat salah dengan aku?” Aku mengerutkan dahi. Keliru dengan ucapan maaf yang terbit dari mulut Amir.

“Aku dengar kau sudah putus dengan Zamri.”

“Emm. Jadi?”

“Sebenarnya…” Amir teragak-agak untuk meneruskan bicaranya. “Sebenarnya aku sudah lama tahu yang dia tidak serius semasa berkawan dengan kau dulu.”

“Maksud kau?” Aku mengangkat kedua keningku.

“Hmm, aku minta maaf Marsya. Sepatutnya aku sudah beritahu kau awal-awal lagi. Sebenarnya Zamri hanya anggap kau kawan biasa sahaja dalam tempoh lima tahun kau bercinta dengan dia. Dia tak pernah berhajat hendak berkahwin dengan kau. Aku sudah lama tahu keluarga dia tidak suka dengan hubungan kau dengan dia. Dan… aku tahu dia ada hubungan dengan perempuan lain.” Riak wajah Amir penuh dengan kekesalan.

“Kenapa kau beritahu aku awal-awal lagi? Kenapa baru sekarang?”

“Maafkan aku. Aku tak sanggup hendak sakitkan hati kau.”

“Tak mengapalah Amir. Aku hargai kejujuran kau. Lagipun aku sudah redha dengan apa yang terjadi. Aku tak rugi pun kehilangan lelaki yang tak berguna macam tu. Betul tak? Mesti ada lelaki yang jauh lebih baik dari dia.” Aku menguntum senyuman. Namun hatiku bergelora menahan marah setelah mengetahui aku tertipu dengan sandiwara Zamri selama ini.

“Hmm, maafkan aku. Aku doakan semoga kau mendapat suami yang soleh dan tak akan berjumpa lagi dengan lelaki macam Zamri lagi. Aku bahagia jika kau turut bahagia.”

“Aik? Lain macam sahaja ayat kau Amir. Yalah. Terima kasih banyak-banyak wahai Amir Haikal.” Aku terus mempamerkan senyuman. Tiada guna aku mahu marahkan Amir. Sekurang-kurangnya aku tiada alasan untuk terus menaruh harapan terhadap Zamri lagi.

 

Epilog: Ya Allah, terima kasih!

Wajahku raup. Panas. Mataku mula berair. Tanpa aku sedar airmata mula mengalir di pipiku lalu menitis pada sekeping foto aku bersama dia.  Foto itu aku letak di atas katil. Aku mengesot ke hujung katil. Tubuhku sandarkan ke dinding. Pandanganku lontarkan ke kipas siling. Aku khayal sebentar melihat kipas itu.

“Ya Allah, bantulah aku untuk meredhai segala yang telah kau aturan buat diriku.” Aku berbisik di dalam hati. Pedih rasanya bila teringatkan kenangan lalu. Airmata aku seka, apa gunanya menangis akan sesuatu yang sudah pergi dan apa faedahnya jika aku menangis untuk lelaki yang bukan halal buat diriku. Aku rasa berdosa kepada Allah. Aku telah melebihkan cintaku kepada orang lain selain daripadaNya. Aku lupa siapa yang patut aku cintai. Selama ini cinta yang aku sangkakan cinta sejati rupa-rupanya cinta palsu yang aku bina atas dasar nafsu semata. Bila cinta kerana nafsu terbina, maka redhaNya tidak akan menyinggah. Aku menyesal. Tertipu dengan hasutan syaitan dan nafsuku sendiri.

Kini aku mula sedar bahawa cinta kepada manusia sering sahaja membawa kepada kesedihan. Aku bersyukur kerana Allah masih sayangkan aku. Dia beri ujian ini sebagai satu tarbiah untuk aku dalam kehidupan ini dan menyelamatkan aku dari terus terjerumus terus ke dalam lubang neraka.

Aku mengesat airmataku. Kotak hijau yang penuh dengan memori pahit dan mengingatkan aku kepada kelakuan jahiliyahku itu aku angkat. Aku bergerak keluar daripada bilik dan menuju keluar rumah. Mataku sempat melihat ke arah jam yang terlekat kemas di dinding bilik tidurku. Sudah jam empat pagi rupanya.

Tombol pintu rumah aku pulas dan kakiku melangkah keluar dan terus ke tempat pembuangan sampah. Aku campak kotak hijau itu ke dalam tong sampah dan aku mencampak sekali segala kenangan pahit aku dahulu.

Aku mendongakkan kepalaku ke atas, merenung langit yang ditaburi bintang-bintang yang berkedipan indah. Aku tersenyum. Dalam hatiku, aku bersyukur kepada Allah dan aku mohon Dia kuatkan semangatku untuk menempuh segala cabaran dan ujian di hari mendatang kerana itulah cara Dia memberi tarbiah kepadaku.

” ..boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)

 

Hasil Karya Nadiah bt Mohd Abdah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , ,