
Prolog: Kenangan Lalu
Malam aku hanya ditemani bunyi rintik hujan yang rancak dan hangat menari di luar rumah. Mungkin mahu menemani aku agar tidak sepi dan sunyi. Kepalaku terletak kemas di atas bantal yang empuk, penemanku di kala aku keletihan. Dingin sekali malam ini. Sedingin perasaan di dalam hatiku. Sudah jam dua pagi. Tubuhku begitu letih. Aku cuba melelapkan mata namun terasa mata ini terasa segar walaupun akal sudah memberat.
“Ish, kenapa susah betul hendak tidur? Baik aku sambung tulis cerpen aku yang tak siap-siap ni.”
Aku bingkas bangun daripada pembaringan. Sepasang kaca mata berbingkai hitam yang terletak di tepi meja kecil aku capai. Aku letak kemas kaca mata itu di mukaku. Aku bergerak menuju ke suis lampu bilik. Bilik yang gelap mula terang-benderang disimbahi cahaya lampu kalimantang. Spontan aku mengecilkan mata. Pupil mataku hebat bekerja mengadaptasi kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mataku.
“Aduh, sejuk betul malam ni.” Badanku menggigil.
Aku merungut sambil almari baju dibuka. Sweater hitam belang kuning UNiSEL kegemaran aku disarung ke tubuh. Tiba-tiba mata aku terpaku pada sebuah kotak yang berwarna hijau. Kotak hijau yang penuh dengan kenangan lalu. Kedua tanganku mengangkat kotak itu dan aku letak di atas katil. Dengan perlahan, penutup kotak itu aku buka.
Satu nafas berat aku helakan apabila aku melihat isi yang terkandung dalam kotak itu. Surat, kad ucapan pemberian seseorang yang pernah aku cintai dahulu. Diari aku yang penuh dengan catatan bersama dia juga terletak rapi di dalam kotak itu. Segala kenangan yang tersimpul rapi bersama surat dan kad itu mula menari di hadapan mataku. Aku rasakan masa terhenti seketika.
Sampul pertama kubuka. Surat kutarik keluar. Aku tersengih sendirian apabila aku baca ayat pertama dalam surat itu. Kelakar bila teringatkan ketika kali pertama aku berkenalan dengan dia. Habis surat pertama kubaca, surat kedua pula aku ambil. Sepanjang malam aku habiskan dengan membaca surat dan diari yang penuh dengan momen indah suatu ketika dahulu.
Aku mula hanyut dalam lautan memori.

Bismillah…’




